Skip to content

Warta Malaya

Warta Malaya – Akhbar jawi tahun 1930an.

Warta Malaya, 24 Jan 1935, p.??

Rampaian Harian

Melayu Tiruan.

Saya telah mendapat peluang bercakap-cakap dengan seorang merinyu Melayu baru-baru ini dan telah sangat hairan mendapat ketahui iaitu hanya tulis Rumi diajar di tempat pelajaran Polis dalam tempat kediaman mata-mata, dan Jawi yang biasa itu hampir-hampir ditinggalkannya.

“Melayu Tiruan” ini ((saya suka menggelarkannya demikian) pada fikiran saya yang rendah sangatlah merosakkan Bahasa Melayu yang sebenar, kerana ejaan sepatah perkataan Melayu itu akan merosakkan bunyi-bunyi yang sebenar bagi perkataan-perkataan satu bahasa yang telah hanyalah bahasa dieja dan ditulis dengan huruf Jawi.

Saya tidak dapat mengerti mengapa Pejabat Polis patut menggalakkan “Melayu Tiruan” ini melainkan yang demikian itu ialah kerana faedah pegawai-pegawai polis daripada bangsa British pada mencuba hendak menderaskan memaham Bahasa Melayu itu.

Sekiranya halnya begitu, maka yang demikian itu ialah suatu kekhilafan yang besar kerana bilangan pegawai-pegawai polis daripada bangsa British berbanding dengan mata-mata Melayu itu sangatlah jauh bezanya, dan aturan membiarkan bahagian yang lebih besar itu melakukan perbuatan mengikut kehendak mereka itu, patutlah dibenarkan di dalam jawatan polis.

Tidaklah dihairankan iaitu pegawai British itu jarang dapat membunyikan kalimat-kalimat Melayu dengan betulnya; kekhilafan itu ialah menggunakan Melayu Tiruan itu!

Sesungguhnya saya sukacita melihat iaitu sekarang ini kebanyakan daripada sekolah-sekolah Melayu di negeri ini ada menggunakan Melayu Jawi kerana papan-papan alamat dan lain-lainnya; manakala dahulunya kebanyakan daripada papan-papan ini telah ditulis dengan “Melayu Tiruan” itu.

Di Selangor terutama sekali, perubahan itu sangat ternyata, manakala di negeri Johor, tidak menggunakan “Melayu Tiruan” itu sama sekali!


blog directory
Local blogs directory

Tags:

Warta Malaya, 24 Jan 1935, p.??

General Article.

Enggan Bekerja. Pejalan-Pejalan Bas Kuala Lumpur Diselesaikan.

Kuala Lumpur, Januari 23.

Adalah difahamkan iaitu gerak enggan bekerja pejalan-pejalan motokar sewa telah diselesaikan.

Adalah dipercayai iaitu suatu mesyuarat yang lama telah diadakan di antara Yang Berhormat Tuan Lai Tet Loke dan Tuan Yong Shook Lin, sebagai orang-orang tengah di antara pejalan-pejalan bas dan Ketua Pegawai Polis semalam; yang menjadi kesudahan daripadanya kebanyakan daripada orang-orang yang enggan bekerja itu, jika tidak semuanya, telah mulai balik mencari sewa di jalan-jalan.

Tidak diketahui lagi kiranya daerah-daerah yang di luar itu telah membuat yang demikian juga tetapi difikirkan oleh am iaitu mereka akan membuat yang demikian itu.


blog directory
Local blogs directory

Tags:

Warta Malaya, 22 Jan 1935, p.??

General Article.

Encik Abdul Rahim Kajai.

Perhubungan dengan akhbar “Majlis” percakapan-percakapan ada kuat mengatakan iaitu Encik Abdul Rahim Kajai, Pengarang Akhbar “Majlis” yang di Kuala Lumpur itu akan meletakkan jawatannya pada akhir bulan ini.

Riwayat Tuan Abdul Rahim Kajai itu ialah kembali kepada masa “Utusan Melayu” dan “Lembaga Malaya” kira-kira dalam tahun 1916.

Pada masa mana wartawan itu telah mengambil berat dalam hal suratkhabar-suratkhabar itu, tetapi dengan tiada terzahir namanya pada tulisan-tulisannya hingga kepada masa “Edaran Zaman” Pulau Pinang, ketika wartawan itu masih di negeri Mekah al-Mukarramah, tetapi telah diangkat menjadi pembantu suratkhabar itu.

Apabila wartawan Abdul Rahim Kajai itu telah balik ke Tanah Melayu, ia telah memangku jawatan pengarang suratkhabar “Saudara” Pulau Pinang hampir-hampir dua tahun lamanya, iaitu di antara tahun 1929 dan 1931; dan pada akhir tahun itu akhbar “Majlis” telah diterbitkan di Kuala Lumpur dan wartawan itulah pengarangnya yang masyhur hingga berkekalan kira-kira tiga tahun lamanya.

Wartawan Abdul Rahim Kajai pengarang yang termahsyur itu barang tentulah cukup sempurna pengetahuannya dalam Bahasa Melayu dan ada pelajaran pula dalam Bahasa Inggeris serta penuh dengan pengetahun dalam Bahasa Arab dan agama; dan ia telah menghabiskan masa 25 tahun di sebelah Tanah Arab.

Bagaimana yang perjalanan hidup langkahan dan budi perangainya yang baik dan harum itu tidak payah dimashyurkan-mashyurkan lagi.

Apa adakah masa tengahari dan bermatahari terang itu hendak bersuluh lagi!


blog directory
Local blogs directory

Tags:

Warta Malaya, 22 Jan 1935, p.??

General Article.

Penjalan-Penjalan Kereta di Selangor Enggan Bekerja. Perniagaan Tergendala — Raub Sukar Makanan.

Sebagai satu bantahan kerana kekerasan peraturan-peraturan Pejabat Perjalanan Polis Kuala Lumpur, maka sekalian penjalan bas, motokar dan motor lori sewa telah enggan menjalankan pekerjaan mereka itu ((terkecuali sedikit sahaja)) di seluruh Selangor dari hari Ahad. Sungguhpun satu jemaah utusan akan berjumpa Ketua Pegawai Polis Selangor pada pukul 9 pagi semalam, bahkan utusan itu tiada datang.

Beberapa macam cakap angin telah dikelilingkan berkenaan dengan kejadian ini yang sangat menyusahkan orang-orang ramai pada hari Ahad; terkhas sekali kepada orang-orang Hindu yang ada meraikan Thaipusam sehingga hari Isnin.

Kedai-kedai pun telah berasa susah juga.

Pejalan-pejalan di tempat-tempat dekat di Kuala Lumpur telah enggan daripada membawa penumpang-penumpang ke Bandar itu. Setengah kerana timbang rasa dengan rakannya, setengah kerana takut kejadian yang akan berlaku kepada mereka itu.

Raub dan lain-lain tempat telah tiada dapat memasukkan barang-barang makan sungguhpun pejalan-pejalan itu sedia membawa beras. Pekerjaan berkenaan dengan getah pun tergendala juga.


blog directory
Local blogs directory

Tags: ,

Warta Malaya, 17 Jan 1935, p.10

Editorial.

Kebangsaan.

Ucapan Tuan Yang Terutama di Kuala Kangsar dalam lawatan ke sana bagaimana yang tersiar pada muka 13 dalam bilangan Warta Malaya semalam itu satu daripada ucapan-ucapan yang memberi perasaan baik dan hemah tinggi dan kemajuan dan kebangsaan yang memang sangat-sangat dicita itu bagaimana yang dalamnya Tuan Yang Terutama itu mengatakan yang ia teramat sukacita melihat orang-orang Melayu yang hadir kebanyakannya daripada orang-orang muda-muda semuanya berpakaian cara Melayu ialah pakaian kebangsaan Melayu yang kelihatan tersangat indah kepada pandangan matanya.

Dan katanya berbahagialah mereka dengan sebab menjadi orang-orang daripada bangsa Melayu. Kemudian katanya iaitu berkenaan dengan kebangsaan itu ia suka hendak menyatakan kepada kaum yang lebih muda iaitu mereka itu semua hari ini memang tinggal bercampur gaul dengan beberapa bangsa asing. Dari itu, tak dapat tiada setengah daripada setengahnya tersangat ingin meniru pakaian-pakaian orang-orang bangsa asing. Maka ia nasihatkan sebagaimana janganlah diperbuat demikian itu lagi sekali dan ia telah mengatakan yang mereka itu semua amat berbahagia oleh sebab adil dan bijaksana Sultan-Sultan yang memerintah negeri Perak itu lepas satu kepada satunya.

Yang demikian permata mutia kata yang begitu permai terhamburan daripada mulut Tuan Yang Terutama itu hendaklah sangat kita anak-anak bangsa Melayu memperhargakannya dengan sebaik-baik perasaan dan setia kerana kebangsaan itu bukankah memang sebesar-besar hak dan modal yang wajib kita memeliharakannya dan bertambah-tambah berat* pula dengan nasihat Tuan Yang Terutama itu?

Sedia termaklum bahwa bangsa-bangsa yang berjaya dengan bahagia dan berkemakmuran menjadi besar dan tinggi itu ada sangat-sangat memperendahkan kebangsaan masing-masing itu seperti satu hak yang sekali-kali tiada boleh terlepas daripadanya dan sebagai satu asas kepada apa-apa perdirian kemajuan dan perolehan kejayaannya.

Maka akan anak-anak bangsa Melayu hingga hari ini sangat memberi sykacita kerana mengambil bahagian kebangsaan dan bercampur pula dengan tersangat dukacita oleh ambilan ini hanya sebagai kebangsaan yang kecil sahaja di antara orang-orang Melayu yang kebanyakannya di negeri-negeri Melayu yang Bersekutu.

Tetapi dapat kita diaku anak-anak bangsa kita ada mengambil sebahagian besar dalam kebangsaan!

Cuba selidikkan langkahan-langkahan mereka itu kelak berketahuan dengan nyata iaitu perasaan sayangkan tanahair hanya sedikit sahaja yang ada kepada anak-anak bangsa kita Melayu demikian juga keadaan ini terkara [?] daripada hal mereka tersangat ingin meniru adat-adat orang-orang Eropah dan mempercuai dan mempercepatkan cara pakaian dan gaya telatah orang-orang Melayu jati dan yang sebenar-benarnya itu.

Dalam masa yang terang benderang dengan sinaran-sinaran dan suluhan-suluhan ilmu dan tamadun ini tidak payah lagi jangkanya kita berseru-seru mengajak anak-anak Melayu kita Melayu selain daripada perkara agama itu kepada bergerak berusaha dan mara kepada kesentosaan bangsa, negeri atau pemerintahnya kerana bukankah molek dan patut bahkan sewajib-wajibnya ada tujuan tiap-tiap seorang Melayu yang kasihkan tanahair kepada yang demikian itu?

Kita hanya bermaksud beringat-ingatan dalam makna kasihkan tanahair itu bagaimana rupa dan jalannya?

Maka yang nyata itu bukan dia dengan wasitah membuat ucapan yang kesat-kesat dan pedas-pedas ke atas mana-mana pihak yang disangka* berseteru dengan negeri itu; tetapi wasitah-wasitah dan jalan-jalan kasihkan tanahair itu boleh dikata beberapa perkara di bawah ini:

1. Tiap-tiap jalan kepada kesejahteraan negeri itu dengan wasitah dan dijumpa daripada jimat cermat, sungguh berusaha dan tinggi pelajaran.

2. Contoh dan teladan keberanian, cekal, tinggi hemah dan benar sekira-kiranya boleh dipercayai kepada keturunan yang muda.

3. Penggalak daripada pihak yang berjawatan tinggi di dalam negeri kepada penduduk-penduduk yang bekerja keras dan tekun dengan setia dan benar.

4. Tiap-Tiap seorang itu hendaklah mengambil bahagian untuknya dan apa-apa kewajipan di atasnya dan jangan berpakaian berharapkan biar orang lain membuat atau menyempurnakannya.

Beberapa perkara itu penggal-penggal beberapa perkara yang sebenar-benar memberi kepada anak-anak bangsa perasaan memperindah dan memperhargakan kebangsaan dan kasihkan tanahair. Maka yang sudah-sudah itu apa hendak dikata tetapi masa yang ada dan akan datang jangan lagi seperti yang sudah-sudah itu.


blog directory
Local blogs directory

Tags:

Warta Malaya, 16 Jan 1935, p.??

General Article.

Ucapan Yang Amat Mulia Raja di Hilir Perak.

Pada hari Jumaat yang lalu, Yang Amat Mulia Raja di Hilir Perak ((Raja Idris bin Paduka Seri Sultan Iskandar Shah) telah berjemaah di Masjid Ridzuaniah, Kuala Kangsar, dan telah diiringi oleh beberapa orang-orang besar. Setelah selesai sembahyang, maka Yang Amat Mulia itu telah memberi suatu ucapan yang pendek di atas Mimbar, seperti berikut di bawah ini:

“Tuan, cuba kita pandu dengan bersungguh-sungguh menyukakan Tuhan kita dan Raja kita, iaitu menuntut ilmu dan beribadat seperti sembahyang lima waktu dan jemaah dan lainnya. Cubalah kita pandu dengan bersungguh-sungguh supaya jangan dimurkai oleh Tuhan kita dan Raja kita, kerana siapa-siapa yang dimurkai oleh Tuhannya di dalam Neraka nampaknya, dan siapa-siapa yang dimurkai oleh Rajanya, tiada berguna duduk di dalam negeri ini.

Saya ini budak lagi bodoh, tetapi apa-apa yang saya dengar dan apa-apa yang saya lihat nanti saya khabarkan kepada bapa saya; hanya doa saya Selamat Umur Panjang sekalian isi negeri Perak ini”.

Ucapan itu sungguhpun pendek tetapi ialah pati nasihat yang amat berguna dan memadailah memberi ingat kepada sesiapa yang mahu mendengar. Seperkara lagi, tentulah sekalian hamba rakyat yang hadir di situ berasa riang dan girang tentang mendengarkan ucapan itu oleh sebab Yang Amat Mulia Raja di Hilir itu masih lagi budak Cuma baru masuk umur sepuluh tahun.

Maka yang demikian ini, ialah yang dikatakan harga emas yang tinggi itu bergantung ia kepada mutunya; dan begitulah juga benih yang baik itu akhirnya mengeluarkan buah yang baik juga; bagaimana seperti kata serangkap pantun di bawah ini:

Jika asalnya benih yang bernas
Meskipun ditimpa hujan dan panas
Jika tak dibinasakan oleh binatang yang ganas
Bangunnya ia akan bertunas

Khairul-Zaman.


blog directory
Local blogs directory

Tags: ,

Warta Malaya, 11 Jan 1935, p.??

Editorial.


Orang-Orang Melayu.

Kerapkali juga kita telah menulis perkara kemajuan orang-orang ramai kerana orang-orang Melayu amnya dan sedikit perbahasan berkenaan dengan jalan-jalan dan ikhtiar bagi memajukan puak-puak daripada orang-orang Melayu yang berketurunan daripada puak yang lebih tinggi di dalam Semenanjung Tanah Melayu ini dan penduduk-penduduk Melayu yang boleh dikatakan sebagai orang-orang kebanyakan.

Maka bukanlah hajat kita hendak mempercakapkan keturunan yang baik dan memandang mudah kepada orang-orang Melayu daripada puak yang baik-baik yang kita bandingkan dengan ahli-ahli daripada kaum pemerintah Melayu, anak-anak daripada Datuk-Datuk dan lain-lain.

Maka dengan hitungan dipukul rata, ahli-ahli daripada bangsa Melayu itu belumlah lagi tiba kepada darjah yang tinggi sekali di dalam pelajaran moden, tetapi ada alamat-alamat yang menunjukkan iaitu orang-orang Melayu ada cepat juga mara ke hadapan di dalam kehidupan campuran yang lebih tinggi daripada apa yang telah menjadi tabiat bagi mereka itu.

Maka dengan memikirkan kemajuan ini kita menulis rencana ini pada hari ini dan adalah menjadikan harapan kita yang tulus ikhlas iaitu dengan menulisnya akan dapatlah kita membuat sedikit khidmat ke arah meninggikan muslihat orang-orang Melayu amnya daripada putera-putera Sultan hingga penoreh-penoreh getah yang miskin sekali dalam Semenanjung ini.

Di dalam dunia ini tidak ada satu apa benda yang boleh mengajar orang-orang yang terkurang pelajaran itu lebih lekas lagi daripada perbuatan-perbuatan yang boleh dijadikan teladan dan sangatlah bersetuju dengan fikiran pada menyatakan iaitu berkenaan dengan rakyat-rakyat Melayu itu teladan-teladan daripada ketua-ketua mereka dalam sebarang cawangan yang terkhas berkenaan dengan campuran ramai perusahaan, pelajaran dan juga berkenaan dengan hal ehwal permainan akan menggalakkan dan membangkitkan perangsang mereka mencuba mengikut teladan segala perbuatan-perbuatan itu dengan kegemaran yang bersungguh-sungguh.

Sesuatu bangsa yang boleh diumpamakan sebagai sebuah rumah sekolah dengan guru itu yang tiada berkemajuan dan kegemaran itu tetaplah sekali akan mengeluarkan murid-murid jenis yang rendah dan berasas dengan keadaan-keadaan yang semacam itu.

Maka seorang pemandu yang tiada mengambil kegemaran itu akan menjadikan tersekat perjalanan di dalam kemajuan orang-orangnya itu. Sekarang ini walaupun apa dikatakan berlawanan dengan hal itu, maka hendaklah kita sebutkan juga iaitu hanyalah pelajaran sahaja akan meninggikan keadaan campuran dan pengertian orang-orang Melayu.

Maka yang demikian sangatlah ternyata iaitu pelajaran yang berdarjah lebih tinggi patutlah didapati oleh orang-orang Melayu daripada puak yang lebih tinggi supaya selain daripada menjadi teladan-teladan yang baik kepada orang-orangnya, maka akan dapat jua mereka menaruh lebih-lebih kegemaran lagi di dalam kehidupan campuran ramai orang-orang Melayu yang berkenaan dengan hal itu mereka itu ada terkebelakang sebagaimana yang ada pada hari ini.

Kita ada cukup menyedari iaitu Malay College yang di Kuala Kangsar itu ialah tempat pelajaran bagi pemimpin-pemimpin bagi masa yang akan datang daripada kumpulan orang-orang Melayu dan kita ada berasa gemar berkenaan dengan dihantar ahli-ahli yang muda-muda daripada kaum kerabat raja dari negeri Kedah ke Eropah pada tiap-tiap tahun kerana menuntut pelajaran-pelajaran yang lebih tinggi di sekolah tinggi yang di sana.

Semua hal ini adalah menjadi isyarat yang molek oleh pemerintah-pemerintah Melayu dan penasihat-penasihat British mereka kerana hendak melengkapkan Tanah Melayu dengan pemimpin-pemimpin yang berdarjah tinggi. Dan kita ada merasa dengan tiada syak iaitu manakala mereka berangkat balik, pemuda-pemuda Melayu yang berdarjah tinggi ini akan menunjuk dan menjadikan satu bantuan yang besar kepada mereka-mereka yang berharap akan mendapat pemimpin itu.

Orang-orang Melayu daripada segala puak kerapkali telah dikatakan terlalu amat sangat taat dan setia kepada pemimpin-pemimpin mereka dan sebab ini adalah menjadikan kewajipan pula daripada sekalian pemimpin supaya melebih-lebihkan lagi perhatiannya dan mengambil tahu dalam hal ehwal kehidupan dan keselamatan mereka itu.

Maka yang demikian adalah ternyata iaitu kerana hendak mengadakan keadaan campuran ramai dalam jalan kemajuan yang sangat-sangat dikehendaki di dalam Tanah Melayu maka anak-anak daripada pemimpin-pemimpin hendaklah diberi peluang yang cukup supaya dapat mereka memajukan diri dalam segala jalan-jalan berkenaan dengan campuran ramai, pelajaran, perusahaan dan permainan. Dan lebih lekas didapati hal ini, lebih lekas lagi akan menjadi satu tarikh bagi kemajuan Melayu yang boleh diputerakan.


blog directory
Local blogs directory

Tags: